Kisah-Kisah Teladan
Kisah Qarun.
Apakah matlamat hidup kita? Adakah kita
sekadar bercita-cita menjadi doktor, jurutera, akauntan dan lain-lain pekerjaan
yang menjanjikan pulangan gaji yang lumayan. Kejayaan yang sebenar ialah kejayaan
hidup kita di dunia dan juga di akhirat. Apa guna jika menjadi seorang doktor,
tetapi bukannya doktor yang mengamalkan cara hidup Islam. Apa guna hidup
kaya-raya tetapi solat, zakat dan amalan kebajikan tidak pernah dilakukan.
Ada satu kisah untuk renungan bersama.
Kisah Qarun dengan harta kekayaannya. Qarun hidup semasa zaman Nabi Musa.
Beliau merupakan umat Nabi Musa dan ada pertalian keluarga dengan Nabi Musa.
Qarun merupakan seorang yang kaya-raya. Semua usahanya membuahkan hasil yang
lumayan. Gedung-gedung hartanya bertimbun-timbun dengan emas dan permata. Suatu
hari pengikut Nabi Musa telah menasihati Qarun supaya membayar zakat dan
bersedekah kepada fakir miskin. Namun Qarun tidak mengendahkan nasihat
tersebut.
Akhirnya Nabi Musa sendiri yang memberikan
nasihat kepada Qarun. Pada mulanya nasihat Nabi Musa di terimanya. Setelah
pulang ke gedung hartanya, Qarun sudah lupa akan nasihat Nabi Musa. Beliau
merasakan semua harta itu adalah atas titik peluhnya sendiri dan bukan dari
pertolongan Allah Taala. Qarun berniat jahat kepada Nabi Musa. Beliau telah
melemparkan fitnah bahawa Nabi Musa cuba mengaut kekayaan untuk dirinya
sendiri. Tidak cukup dengan itu, beliau telah mengupah seorang wanita cantik
bagi menuduh Nabi Musa melakukan zina dengan wanita cantik tersebut. Semua
tuduhan tersebut tidak berjaya.
Nabi Musa telah berdoa kepada Allah Taala
supaya menurunkan azab kepada Qarun yang ingkar. Akhirnya Qarun ditenggelamkan
ke dalam tanah bersama hartanya.
Itu
kisah teladan kepada kita, orang yang mahukan kekayaan dan berjaya di dunia
sahaja. Akhiratnya dilupakan.